Tuesday, February 24, 2009

Ancaman dalam politik Malaysia

Mungkin terasa suatu kegusaran dalam benak orang politik apatah lagi dunia mereka sudah dicemari dengan "ancaman politik" dari musuh yang berada dalam platform yang berbeza atau selimut yang sama. Kita tidak tahu bila permainan ancaman ini bermula walaupun kita telah banyak membaca dan mengetahu dari sejarah tentang beberapa pembunuhan yang melibtkan beberapa pemimpin dunia yang saya rasa pembaca sudah maklum.
Kalau di negara kita, mungkin sesetengah orang politik dan masyarakat sudah tahu kisah pembunuhan Dato Taha ( kalau tak silap saya) yang akhirnya pembunuh telah di bawa ke muka pengadilan. Mungkin kes Dato' taha dulu adalah melibatkan dari orang yang berada dalam payung yang sama.
Ancaman dalam politik bukan sahaja menjurus kepada individu tapi juga melibatkan satu kelompok yang besar seperti dalam kes di Memali antara penyokong PAS ( di bawah Ustaz Ibrahim Libya) dan kerajaan ( BN) yang mengorbankan banyak nyawa. Dato Musa Hitam sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa itu telah melabelkan ustaz Ibrahim Libya sebagai penjenayah dan menuduh Ustaz Ibrahim menggunakan orang wanita dan kanak-kanak sebagi perisai. Pembunuhan beramai-ramai ini telah difailkan ke Mahkamah dan dikhabarkan masih lagi belum selesai sampai sekarang. Bukan setakat di Memali sahaja tapi juga di Lubuk Merbau yang sekali lagi menyaksikan gugurnya pejuang-pejuang dalam PAS sebagai shuhadah walaupun beberapa mufti dan tokoh agama pro BN menganggap mereka ini sebagai mati biasa yang perlu dikapankan kerana melawan pemerintah. Kurang jelas sebenarnya hujah yang dibawa oleh tokoh agama itu sedangkan shahid dalam alqura telah diperjelaskan secara detail dengan dibantu oleh penerangan dari hadis dan ijmak ulama yang muktabar. Mungkin tokoh agama yang pro BN waktu itu cuba menyembunyikan kebenaran atas alasan menjaga jawatan dan kedudukan yang disandang.
Ancaman ini juga bukan sahaja tertumpu kepada parti yang dipelopori oleh orang Melayu tapi juga telah kepada parti dari kelompok India dan Cina. Pembunuhan pemimpin kanan MIC sebelum pilihanraya 12 ketika menaiki lif adalah bukti kepada ancaman dalam politik ini tidak memihak kepada sesiapa.
Sejak akhir-akhir ini, sekali lagi kita telah dikejutkan dengan penghantaran surat yang berisi dua butir peluru yang dihantar ke pejabat pemimpin DAP, YB karpal Singh dan ancaman z' nyahkan Sivakumar" yang ditulis dalam blog pro BN terhadap S. Sivakumar. Mungkin bagi pemerhati politik, ancaman terhadap ke dua-dua orang politik ini adalah rentetan dari isu yang melanda Perak. Kita tidak tahu siapa yang membuat angkara dan dari kelompok mana yang cukup gemar bermain dengan ancaman. Mungkin di kalangan pakatan Rakyat akan cuba mengandaikan bahawa ini angkara dari penyokong BN ataupun individu yang tidak mahu Sultan diperkotak katikkan atau dalam istilah lain "menderhaka". Andaian ini mungkin diperkuatkan lagi dengan kelantangan Karpal singh yang berkeras utnuk menyaman Sultan Perak dalam kes perlantikan Menteri Besar BN yang dipertikaikan keesahannya kerana berlawanan dengan apa yang termaktub dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Neger Perak. S. Sivakumar yang cukup tegas dalam mempertahankan undang-undang negeri Perak telah menggantung 7 Adun dari BN telah sedikit sebanyak mengundang kepada rasa tidak puas hati di kalangan penyokong BN dan mengakibatkan wujudnya ancaman sedemikian terhadap beliau.
Ancaman-ancaman sebegini sebenarnya sesuatu yang tidak seharusnya dipopularkan dalam masyarakat Malaysia. Politik Malaysia perlu bersih dan Demokrasi perlu subur. Sekiranya ancaman ini berterusan ianya akan mencerminkan corak pemikiran yang dangkal dan bebal di kalangan masyarakat kita. Tiada guna kita menjunjung undang-undang kalau kita tidak tahu menggunakannya. Kita perlu mengamalkan tarian politik yang santun dan gemalai dan setiap pertelagahan perlu diselesaikan mengikut undang-undang dan dibawa ke meja bulat. Apa guna diwujudkan Mahkamah dan hakim-hakim kalau setiap manusia hanya tahu menyelesaikan satu-satu perkara mengikut acuan sendiri. Ragam politik begini boleh membawa kita kepada corak politik sempit dan seterusnya lari dari demokrasi yang sebenar.
Dua gajah bertempur, pelanduk mati di tengah. Kembalilah kepada suasana politik yang matang. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Ikutlah peraturan dalam permainan supaya permainan menjadi seronok dan menarik sebab permainan dan perlawanan yang berasaskan peraturan akan membuahkan lagi kekraban sesama pemain walaupun berbeza dari segi tektikal

wallahuaalam.

Pak Katib

24 Feb 2oo9

No comments:

Post a Comment